Seorang remaja maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam 50 meter di Kilometer 260 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara selepas terowong Menora, Ipoh pada Rabu. Dalam kejadian pada jam 5.20 petang itu mangsa Muhammad Safiq Danial Alias, 18 meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Mohamad Nur Hafiz Mohd Ridzuan, 20, patah kaki kiri.
Menurut Pegawai Turus Trafik Perak, Mohd Mahiri Hussin siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter. “Apabila tiba di tempat kejadian, kereta ini dipercayai terbabas ke kiri dan melanggar divider serta menjuman ke dalam gaung. “Mangsa meninggal kerana tercampak keluar dari kenderaan dan rakannya juga turut tercampak keluar tetapi terselamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada Rabu. Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut,” jelasnya. Kira-kira 20 anggota bomba telah melakukan kerja-kerja menyelamat dan operasi telah berakhir pada jam 7 petang.