Pemandu bas persiaran yang merempuh 10 kenderaan berdekatan terowong Menora, Ipoh pada Ahad lalu, dibebaskan dengan jaminan polis. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata lelaki berusia 51 tahun berasal dari Johor Bahru yang direman sejak Isnin lalu itu, dibebaskan selepas keterangannya dirakamkan.
“Tahanan dia dibawah perintah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah iaitu selama empat hari telah tamat hari ini. “Kami telah merujuk kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sebuah program di Station 18, Ipoh pada Khamis. Katanya, kesemua mangsa terlibat termasuk 28 penumpang bas ekpress itu juga telah diambil keterangan sejak Ahad lalu. Tambahnya tindakan selanjutnya akan diambil setelah mendapat laporan pakar daripada pihak terlibat dan pendakwa raya. “Setakat ini kita belum dapat lagi arahan sebab kita belum dapatkan laporan pakar daripada pihak yang bertanggunjawab, kita perlu lihat dahulu keputusan laporan yang akan diberi,” ujarnya. Dalam kejadian 3 petang Ahad, bas ekspress yang membawa 28 penumpang tersebut dipercayai telah hilang kawalan dan merempuh 10 kenderaan di hadapannya. Hasil rempuhan itu, seorang mangsa dari salah sebuah kenderaan dirempuh mengalami kecederaan selain mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang 11km.