IPOH: Kerajaan negeri sedang mengenalpasti projek-projek 'sakit' yang menjadi masalah kepada kelancaran pentadbiran di peringkat kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha menangani projek `sakit’ itu sedang dilaksanakan melalui satu mekanisma yang telah diwujudkan dua tahun lalu ke arah pemantapan proses pentadbiran dalam kerajaan negeri.
Menurut beliau, mesyuarat bulanan yang diadakan dengan pegawai-pegawai daerah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Datuk Bandar Ipoh lebih menekankan kepada pemantapan proses pentadbiran dalam kerajaan negeri.
Di samping itu, kata Dr Zambry, dalam mesyuarat itu, beliau turut mendengar pelbagai perkara berkaitan pembangunan di kawasan dan daerah di negeri ini.
“Kerajaan negeri amat serius berhubung perkara berkaitan projek-projek pembangunan yang diluluskan dan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa berlaku kelewatan,” katanya.
Beliau berkata berdemikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Rya Aidilfitri Tahun 2016 Jabatan Kerja Raya Negeri Perak di perkarangan Pejabat JKR Perak di Ipoh pada Khamis.