IPOH: Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon meminta Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming supaya tidak memutar-belitkan kenyataan berhubung tindakkannya menghina pemberian duit raya sebagai dedak yang menguris perasaan umat Islam di negara ini.
Beliau meminta Kor Ming meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung tindakkan biadapnya itu sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam dan orang Melayu.
``Kita ini manusia memang tidak lari daripada melakukan kesalahan, jadi bila dah salah, minta maaf sahaja, tak payah putar belit,” katanya.
Dr Mah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung gambar karikatur yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya yang didakwa menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri dan keengganannya untuk meminta maaf kepada umat Islam.
Dr Mah berkata, orang bukan Islam dan bukan Melayu juga tidak bersetuju dengan tindakan biadap Kor Ming kerana menghina perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menyamakan pemberian duit raya sebagai dedak dan rasuah.
Menurut beliau, sebagai seorang pemimpin politik, Kor Ming tidak sepatutnya menghina perayaan Aidilfitri sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam.
``Kita harus faham bahawa kita hidup dalam satu masyarakat yang berbilang kaum, hidup dengan begitu harmoni dan itulah yang telah kita pupuk selama ini.
``Bagi saya, tidak kiralah sama ada kita ini pemimpin daripada mana-mana parti, apa yang penting kalau nak ucapkan sesuatu perayaan kepada mana-mana pihak, apa yang nak disampaikan mestilah mesej positif,’’ katanya.
Sehubungan dengan itu Dr Mah menasihati agar tidak ada mana-mana pihak yang menggunakan isu perayaan sebagai satu isu politik, khususnya bila digunakan untuk menghina atau dianggap sebagai penghinaan.
``Dalam isu yang dibangkitkan Kor Ming ini, orang muslim menganggapnya sebagai satu penghinaan,’’ katanya.