top of page
muinsapidin

Padah Biadap Dengan Polis

KUALA KRAI - Gara-gara mengganggu tugas penjawat awam, pemandu lori di reman selama tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Abdullah Roning berkata, lelaki berusia 49 tahun itu berkasar dengan pegawai dan anggota polis setelah diarahkan untuk memberhentikan kereta dipandunya selepas didapati memotong barisan di KM 57 Jalan Kota Bharu-Gua Musang kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian, pegawai dan anggotanya berpangkat konstabel sedang melakukan rondaan Ops Selamat 9.

“Lelaki berkenaan telah menghina dan melakukan provokasi terhadap pegawai dan anggota bertugas ketika saman sedang dikeluarkan.

“Di antara ayatnya ialah "Semua polih (polis) ambik (ambil) duit, bakpo (kenapa) demo (awak) tok seh amik duit (tak nak ambil duit), setahu saya semua polih (polis) make rasuah (ambil rasuah),” katanya.

Abdullah berkata, lelaki tersebut juga telah bertindak menghalang pegawai polis mengeluarkan saman dan mengulangi ayat tersebut sebanyak empat kali dengan meninggikan suara.

Menurutnya, pegawai terlibat kemudiannya mengarahkan anggota bawahan untuk menangkap lelaki tersebut dan dibawa balik ke balai untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, sebanyak 257 keping saman dikeluarkan sepanjang 12 hari Ops Selamat 9 dari 29 Jun hingga 11 Julai atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut beliau berpuas hati dengan disiplin pengguna jalan raya.

“Sepanjang tempoh 12 hari ini, tidak ramai pemandu yang memotong barisan. Segelintir yang ingkar kita berikan nasihat agar tidak mengulanginya, cuma satu tangkapan yang melibatkan pemandu biadab terhadap anggota dikesan dan telah pun di reman," katanya.

Beliau berkata, tindakan dikenakan ke atas pemandu dari Tok Sangkut, Pasir Mas itu diharapkan menjadi pengajaran kepada pengguna lain untuk mengubah sikap.


8 views0 comments
bottom of page