Ipoh telah tersenarai sebagai destinasi terbaik Asia yang patut dilawati oleh Lonely Planet, majalah pelancongan terbesar dunia.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mendedahkan perkara ini berkata kerajaan negeri amat teruja dengan penarafan tersebut kerana ia membuktikan segala usaha keras mempromosikan bandaraya ini berhasil.
Baru-baru ini, majalah pelancongan nombor satu di dunia, Lonely Planet telah menamakan Ipoh sebagai salah satu destinasi terbaik bagi pelancongan di Asia bagi tahun 2016.
Pemilihan yang berlangsung selama 12 bulan oleh pihak editorial itu turut meletakkan Ipoh sebagai lokasi keenam teratas dan antara faktor utamanya adalah ledakan kafe hipster dan warisan bangunan bersejarahnya.
Lonely Planet juga telah memilih Ipoh selepas Hokkaido di tempat pertama, Shanghai di tempat kedua, diikuti dengan Jeonju manakala Ipoh merupakan satu-satunya bandaraya pilihan mereka.
Menurut laman web tersebut, syurga makanan itu agak kurang dikenali namun ianya kian mendapat tempat di hati pelancong berikutan kewujudan rangkaian kafe-kafe hipster di sudut bersejarah bandaraya tersebut.
"Di tengah-tengah kesibukan pagi bandaraya Ipoh adalah hotel Sekeping Kong Heng yang menampilkan rekaan hiasan dalaman bilik dilengkapi dengan loteng berkaca dan sudut bumbung tidak berdinding.
“Kafe seni seperti Roquette, Burps & Giggles and Everyday Lifeshop juga terdapat di sekitarnya, didampingi oleh kedai kopi klasik serta bangunan warisan yang masih teguh dan tersergam indah.
“Namun, mutiara sebenar Ipoh adalah variasi makanannya seperti Nasi Ayam Taugeh dari restoran Lou Wong, pudding tau fu fah di Funny Mountain,” adalah antara penjelasan dalam laman web Lonely Planet.
Laman web itu turut menyentuh mengenai selitan aktiviti lasak dan sukan luar seperti memerhati burung dengan menggunakan basikal serta kayak whitewater di Gopeng yang wajib dikunjungi sekiranya datang ke Ipoh.
Selain itu, laman web itu juga mengetengahkan tokong atas bukit serta ladang teh Gaharu Tea Valley juga merupakan tarikan utama yang menjadikan Ipoh wajar diangkat sebagai destinasi pilihan terbaik di Asia.
Antara lokasi pelancongan yang disenaraikan dalam Lonely Planet adalah seperti Pulau Con Dao di Vietnam, Hong Kong, Pemuteran di Indonesia, Pulau Trang di Thailand, Menghalaya di India serta Taitung di Taiwan.