IPOH: Dalam masa dua hari sahaja, video klip kreatif daripada pasukan keselamatan PDRM Perak Berjaya mencatat 431,000 perkongsian serta 22,0000 ‘like” daripada netizen secara keseluruhan sejak dikongsikan di laman sosial.
Ternyata, penangan abang dan kakak polis yang terlibat dalam pembikinan video berdurasi 5 minit 7 saat itu mendapat maklum balas cukup meriah daripada masyarakat terutamanya pengguna di laman sosial.
Di sebalik video bertemakan lagu raya dan melodi hip-hop yang cukup bermakna itu, Astro Awani sempat menemuramah para “artis” yang menjayakan pembikinan video tersebut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, ACP Fadzil Ahmat yang merupakan tulang belakang kepada produksi video tersebut berkata inspirasi beliau adalah atas permintaan khas daripada seseorang.
Pengarah “bidan terjun” video yang mendapat sambutan hangat daripada netizen itu berkata objektif utama produksi video tersebut adalah tidak lain hanya untuk merapatkan jurang di antara polis dan masyarakat.
“Video tersebut bukanlah untuk menunjukkan kesengsaraan kami tetapi untuk berkongsi kepada orang ramai mengenai tugas hakiki polis yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa, termasuklah musim perayaan.
“Kami nak kongsikan apa yang kami lalui, semasa perayaan tidak berjumpa dengan ahli keluarga atas panggilan namun melalui sentuhan kreatif menggunakan platform media sosial yang menjadi trend pada hari ini.
“Kami tunaikan janji kami, dan di sebalik peranan kami sebagai anggota keselamatan kami juga merupakan insan biasa yang punyai naluri dan citarasa seni tersendiri,”katanya ketika ditemui di studio mini IPK Perak petang Rabu.
Fadzil berkata video tersebut bukanlah video rasmi polis Perak namun adalah satu mesej mengenai kegembiraan dan kesedihan di sepanjang musim perayaan membanteras jenayah untuk kesejahteraan orang ramai.
Menurutnya, pembikinan klip video itu tidak membabitkan orang awam sebaliknya dilakonkan empat kru produksi, 15 anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan lima penyanyi.
“Pembikinan klip video ini membabitkan kos makan minum kepada anggota terbabit ketika waktu berbuka iaitu pegawai serta anggota yang tidak bertugas dan dipanggil untuk penggambaran sekitar Meru dan Jelapang.
Sementara itu, satu-satunya bunga di dalam video yang liriknya diubah daripada kumpulan Khalifah iaitu Hang Pi Mana, Konstabel Fatimah Azzahra berkata beliau merasa ini merupakan satu pendekatan unik daripada PDRM Perak buat pertama kalinya.
Penyanyi tetap bagi kumpulan muzik tetap PDRM Perak, Pengaman Biru itu juga sempat meluahkan rasa terujanya untuk bekerjasama dengan semua pegawai dan anggota yang terlibat.
“Masa masuk polis dahulu, seingat saya kerja hanya terhad kepada meronda dan berada di lokap atau menjalankan siasatan namun setelah melibatkan diri dalam produksi video ini, saya berasa gembira dan sekuranng-kurangnya seronok menghasilkan sesuatu yang kreatif,”katanya lagi.
Rapper dalam video tersebut, atau Inspektor LaPaula Abdul Muis pula berkata bahawa pengalaman untuk merakamkan kisah di sebalik tugas seorang polis adalah perkara yang tidak dapat dilupakannya.
“Sebelum ini kami jarang dapat bersama berbual dan berkumpul, bermesra kerana semua tertumpu kepada tugas hakiki masing-masing namun hasil positif yang dapat saya lihat adalah hubungan muafakat yang erat sepanjang menghasilkan seni kami kali ini.
“Memang banyak komen, ada positif dan negatif namun itu terpulang kepada mereka yang menilai dan mendengar kerana kami ikhlas melakukan video ini, sekadar cetusan idea sahaja," ujarnya.