BALIK PULAU: Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut ditembak ketika sedang tidur di dalam kawasan kilang memproses ayam di Batu Maung dekat sini Rabu.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai insiden itu kira-kira pukul 2.55 pagi bahawa seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai berada di bawah pengaruh dadah meluru masuk ke dalam kawasan kilang ketika semua mangsa sedang tidur dan melepaskan tembakan ke arah mereka.
Mereka yang maut merupakan ibu kepada suspek berusia 55 tahun, adik lelakinya berusia 20 tahun dan anak buahnya (dua tahun).
Turut terbunuh seorang lelaki berusia 50 tahun, yang juga pemilik kilang memproses ayam berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Razaruddin Husain, berkata siasatan awal mendapat suspek mengamuk kerana gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah.
Suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux yang juga milik pemilik kilang itu dengan nombor pendaftaran PLJ 7392.