Cadangan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu sebagai referendum mengukur sentimen orang ramai terhadap tuduhan rasuah Lim Guan Eng disifatkan sebagai cubaan menyorok di belakang rakyat. Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe berkata, rakyat Pulau Pinang tidak sewajarnya diheret dalam isu tuduhan rasuah berkenaan kerana ianya merupakan masalah peribadi Ketua Menteri negeri itu.
Tambahnya, tuduhan rasuah itu juga hanya melibatkan Lim dan bukan kesemua barisan kepimpinan kerajaan negeri justeru tiada keperluan untuk mengheret rakyat ke dalam isu berkenaan. “Ianya adalah masalah peribadi Ketua Menteri jadi jangan pula mengambil rakyat untuk dibawa ke gelanggang demi kepentingan masalah peribadi beliau. “Kita harap bahawa rakyat Pulau Penang perlu cerdik dan celik jangn diperkudakan lagi dan diperbodohkan oleh kumpulan ini demi kepentingan politik mereka,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PAWE UTC Perak di Ipoh pada Rabu. Tambah beliau, sekiranya pilihan raya mengejut itu tetap diteruskan ia akan membazirkan jutaan wang ringgit yang sepatutnya digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat negeri itu. “Ini adalah satu pembaziran yang begitu besar kepada pihak kerajaan dan ia sebenarnya langsung tiada kaitan dengan rakyat,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut mengecam keras tindakan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang melakukan provokasi politik berkaitan isu sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Beliau turut mengesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Taiping itu yang dilihat sengaja menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan kaum melayu. “Kita amat kesal dan marah ketika musim perayaan Aidilfitri ada pula pemimpin dan wakil rakyat yang merupakan seorang profesional mengeluarkan kata-kata sedemikian. “Jangan disebakan politik, kita nak menghasut rakyat untuk membenci kepada sesuatu kaum atau memperli seseorang ketika sedang menyambut perayaan. Ini amat memalukan,” katanya.