top of page
muinsapidin

Bas rempuh 10 kenderaan -  49 daripada 63 adalah kesalahan melebihi had laju

IPOH: Bas persiaran yang merempuh 10 kereta di Kilometer 265.8 lebuh raya PLUS baru-baru ini yang mempunyai 63 saman tertunggak dengan 49 daripadanya adalah kesalahan melebihi had laju.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Perak, Suprintendan Wan Jamil Wan Chik, daripada jumlah saman itu sebanyak 9 saman adalah bagi kesalahan memandu perlahan dilorong kanan, dua saman tidak mengawal semasa memandu hingga menyebabkan kes kemalangan, dua saman gagal menunjukkan lesen memandu dan satu saman memotong di kawasan larangan.

``Pemandu yang terlibat mempunyai 9 saman iaitu dua saman bagi kesalahan memandu laju, empat saman bagi halangan lalu lintas, satu saman memandu perlahan di lorong kanan dan dua saman melanggar lampu isyarat merah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengetuai lima orang pegawai dan 28 anggota Polis Trafik dalam Ops Perangkap Laju di Kilometer 29 Jalan Ipoh-Limut berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada Selasa.

Semalam seorang pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 buah kenderaan di Kilometer 265.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan baru-baru ini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perintah tahanan reman selama empat hari itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Ng Geok Nee dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ipoh.


5 views0 comments
bottom of page