Malaysia kongsi maklumat dengan Indonesia berhubung kes penculikan tiga warganya di Laut Celebes minggu lalu. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia juga telah mengadakan kerjasama tiga hala di antara Indonesia dan Filipina bagi membebaskan mangsa culik terbabit.
Menurut beliau, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah pun menghubungi Ketua Polis Indonesia bagi menyatakan hasrat untuk membantu negara itu. “Kita telah berikan maklumat dan kita juga mempunyai beberapa individu atau beberapa pegawai yang berada di sekitar esszone untuk membantu mereka. “Kita juga telah berhubung dengan polis Filipina untuk memberikan maklumat secara terus kepada Indonesia dan kita supaya kerjasama tiga hala ini dapat kita lakukan bagi menentukan tebusan itu dapat dibebaskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perayaan Hari Guru 2016 peringkat Daerah Hilir Perak di Bagan Datoh pada Selasa. Minggu lalu, Ketua Agensi Perisikan Indonesia, Sutiyoso berkata, tiga rakyatnya itu dipercayai diculik oleh militan Abu Sayyaf di Laut Cerebes yang bersempadan Malaysia, Indonesia dan Filipina. Sutiyoso berkata, kesemua mangsa merupakan pekerja sebuah bot nelayan Malaysia di Lahad Datu.