IPOH: 'Tolong letakkan abu mayat saya bersama ibu bapa saya'.
Itu merupakan pesanan terakhir Lim Sing King,49, dalam satu nota yang dijumpai abang mangsa selepas mayat adiknya dijumpai di rumah Taman Bercham Aman pagi tadi.
Lim yang merupakam seorang guru dijumpai membunuh diri dengan menghidu asap arang yang dihidupkan sendiri.
Mayat ditemui terbaring dalam rumah oleh abang kandungnya sendiri.
Gambar hiasan
Kejadian mula disedari apabila rakan sekerja mangsa merasa pelik mengenai dengan ketidakhadiran Lim ke sekolah seperti kebiasaanya lalu menghubungi abang mangsa untuk mendapat kepastian.
Mangsa sebelum itu dikenali sebagai seorang guru yang menepati masa ke sekolah.
Ketika ditemui,mangsa berada di dalam keadaan terbaring bersebalahan dengan arang terbakar yang telah sejuk dan bertukar menjadi abu.
Keadaan muka mangsa hitam disebabkan gelaja debu arang dengan mulutnya berbuih.
Dalam nota itu mangsa turut berpesan untuk menjaga dua ekor anjing kesayangannya.
Guru subjek Sejarah yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu seorang guru yang amat disayangi oleh pelajar di sekolahnya dan berita pemergiannya itu amat mengejutkan anak-anak muridnya.
Menurut jiran mangsa yang tidak ingin dikenali, beliau terhidu bau arang yang amat kuat pada pagi kejadian namun tidak mencurigai sebarang kejadian.
Katanya, mangsa juga bersikap normal dan menjalankan rutin hariannya seperti menyiram bunga, mencuci kereta dan berbual seperti biasa pada hari sebelumnya.
Lim, yang dikenali dengan sifat peramah di kalangan jirannya juga pernah mengajar di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Ipoh untuk mengajar di sekolah berkenaan selain aktif dalam Persatuan St John Ambulans,Ipoh.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berkenaan kes tersebut sekitar 10.50 dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya kami di tempat kejadian, pihak polis mendapati mangsa telah meninggal dunia dan ianya disahkan oleh pembantu perubatan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan bedah siasat juga mendapati mangsa meninggal dunia berikutan terhidu racun karbon monoksida,"katanya kepada pemberita.
Sum berkata kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya pada petang tadi,"ujarnya.