TAIPING: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menafikan sekerasnya bahawa lukisan kartun yang kononnya menghina sambutan Aidilfitri adalah miliknya .
Sebaliknya, beliau bekata ianya merupakan permainan politik untuk menjatuhkannya. Ahli Parlimen Taiping itu berkata beliau amat kesal dengan tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang seolah-oleh menyokong politik kotor hanya untuk mencemar nama baik parti DAP.
Beliau juga menempelak tindakan sesetengah pemimpin Barisan Nasional ( BN ) yang bukan ingin membetulkan keadaan sebaliknya cuba mengeruhkan keadaan dengan membuat demonstrasi semata-mata untuk mencari publisiti murahan. Semalam, Nga telah mengeluarkan kenyataan media berhubung penjelasan bahawa beliau tidak pernah memiliki atau memuatnaik lukisan kartun tersebut di laman Facebook. "Namun, hingga hari ini masih ada pihak sengaja melontar tohmahan tanpa asas, dan saya amat kesal dengan budaya fitnah yang cuba diuar-uarkan oleh musuh politik parti kami walaupun fitnah adalah dosa besar di sisi Islam. " Saya amat menghormati agama Islam malah sentiasa memberi sumbangan kepada keluarga Islam yang memerlukan bantuan khususnya dalam kawasan parlimen saya di Taiping,"katanya pada petang Isnin. Nga berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan satu kempen derma darah di TESCO Taiping, di sini pada pagi Isnin. Tegasnya, ini bukan kali pertama beliau diperlakukan seperti mangsa kepada fitnah kotor dan musuh politik, malah laporan pernah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). " Tindakan pernah diambil oleh mahkamah tetapi keadaan tersebut masih lagi berulang jadi jelas peristiwa ini adalah helah kotor yang menjatuhkan kami di DAP. " Saya berharap rakyat dapat menolak budaya ini supaya dapat menegakkan keadilan kami sebagai mangsa fitnah ini,"ujarnya. Sepanjang Aidilfitri lepas, beberapa pemimpin UMNO telah mengemukakan ketidakpuasan hati dan rasa berang mereka terhadap Nga Kor Ming yang dikatakan tidak matang dan biadap terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia dengan memuatnaik ucapan Syawal berserta latar belakang bendera Amerika Syarikat di laman Facebooknya.