top of page
muinsapidin

Ribut Macam Puting Beliung

BANDAR JENGKA - Lebih 80 buah rumah rosak teruk akibat hujan ribut melanda Felda Jengka 6, dekat sini, semalam.

Penduduk, Zaini Ibrahim, 34, berkata, kejadian yang berlaku antara jam 5 petang hingga 7 malam itu adalah kejadian paling teruk pernah berlaku melibatkan jumlah kediaman yang banyak.

"Selain rumah, sekolah dan jalan raya turut terjejas ditimpa pokok tumbang. Rumah bapa saya di blok I tercabut bumbung dan dinding hilang. Mungkin terbang dibawa ribut. Anggaran kerugian RM3,000. "Hari ini kebanyakan penduduk masih cuti raya dan ada yang di kampung lagi. Saya difahamkan ramai yang balik Jengka selepas dapat tahu fasal ribut ini untuk melihat keadaan rumah masing-masing," katanya. Sementara itu, Noraini Abd Razak, 37, berkata, ini kejadian ribut paling luar biasa berlaku di Jengka 6 selama lebih 15 tahun beliau menetap di situ. Beliau yang mengalami kemalangan kecil akibat huru-hara ribut bersyukur kerana rumahnya tidak terjejas. "Syukur keluarga saya selamat. Tapi rumah jiran sebelah rosak teruk kerana pokok tumbang timpa dapur. Saya nampak kejadian macam puting beliung," katanya. Tinjauan Sinar Harian mendapati pihak berkuasa tempatan sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan dan kawasan sekitar yang dipenuhi serpihan atap dan zink. Jabatan Bomba dan Pertahanan Awam menebang dan memotong pokok-pokok tumbang serta menyiasat jumlah kerugian manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan pemantauan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. Penduduk terjejas dijadualkan mendaftar dengan JKM mengenai anggaran kerugian dan bahagian terjejas masing-masing pada petang ini untuk rekod dan tindakan lanjut.


10 views0 comments
bottom of page