top of page
muinsapidin

Dua Pemuda Bahagian Kecam Kor Ming

IPOH: Dua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di negeri ini mengemukakan memorandum bantahan mengutuk kenyataan Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming kerana mempersendakan amalan pemberian duit raya sebagai `dedak’ dan rasuah.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syamsul Bahrin Putra yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat telah menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Setiausaha Eksekutif DAP, Cik Liew Wai San di Ibu Pejabat DAP Medan Istana kira-kira jam 12 tengah hari.

Turut hadir menyerahkan memorandum bantahan yang sama, Ketua Pemuda UMNO Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor dengan diiringi hampir 20 orang anggota pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat. Syamsul semasa bercakap dalam sidang media sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu meminta pihak PDRM menahan segera Nga Kor Ming kerana mengeluarkan kenyataan yang menguris hati dan perasaan umat Islam disaat dan ketika mereka sedang menyambut Aidilfitri. "Nga secara terang-terangan mempersendakan amalan pemberian duit raya kepada kanak-kanak sebagai rasuah dan memberikan ucapan Selamat Hari Raya dengan berlatar belakangkan bendera Amerika Syarikat, berimej tangan berdoa dan rumah api yang mana ianya secara jelas adalah symbol bagi masyarakat Kristian,’’ katanya. Menurut beliau lagi, Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat tidak mengiktiraf Nga Kor Ming sebagai seorang Ahli Parlimen kerana mengamalkan sikap rasis dan biadap serta gemar mencetuskan provokasi ke atas keamanan dan kesejahteraan kaum dan berbilang agama di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor pula mendesak Nga Kor Ming tampil segera memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam kerana tindakannya biadapnya itu. Katanya, Nga sebagai seorang ahli Parlimen langsung tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam dan orang Melayu dan acap kali melakukan provokasi yang boleh menganggu gugat kestabilan dan keharmonian negara. "B‎eliau langsung tidak mencerminkan diri beliau sebagai seorang wakil rakyat yang mendokong Perlembagaan dan menghormati Institusi Perlembagaan di Malaysia,’’ katanya. Sementara itu lebih 40 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Taiping yang diketuai Ketua Pemudanya, Shahril Azmir Ahmad Shaffie terpaksa melekatkan memorandum bantahan terhadap Ng Kor Ming di pintu Pejabat Ahli Parlimen Taiping itu di Jalan Kota, Taiping pada jam 11 pagi setelah mendapati pejabat berkenaan ditutup. Shahril dalam kenyataannya meminta Kor Ming memohon maaf kepada umat Islam dan juga orang Melayu kerana tindakan biadapnya itu dibimbangi boleh menganggu gugat kestabilan dan keharmonian negera. "Nga Kor Ming tidak boleh lari dan menyembunyi diri kerana beliau perlu bertanggungjawab di keatas kenyataannya itu serta tampil memohon maaf secara terbuka keada umat Islam,’’ katanya.


34 views0 comments
bottom of page