top of page
muinsapidin

Bas Rempuh 10 Kenderaan Ada 63 Saman

Bas persiaran yang merempuh 10 kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuhraya PLUS arah selatan selepas Terowong Menora petang semalam dikesan mempunyai 63 saman tertunggak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Supt Wan Jamil Wan Chik berkata, pemandu bas tersebut pula mempunyai sembilan saman tertunggak bagi pelbagai kesalahan trafik.

"Kita telah lakukan siasatan awal dan kita dapati bas itu sahaja mempunyai 63 saman pelbagai kesalahan manakala pemandu itu mempunyai 9 saman sejak 2011 hingga 2015.

"Kita juga sudah buat saringan air kencing ke atas pemandu dan didapati negatif dadah. Ketika ini kita dalam proses mendapatkan reman terhadap dia (pemandu bas)," katanya ketika ditemui di sekitar pekarangan mahkamah seksyen Ipoh pada Isnin.

Beliau turut memberitahu siasatan sedang giat dijalankan dan pihaknya sedang menunggu laporan dari Puspakom mengenai bas tersebut.

Dalam kejadian 3 petang semalam itu, bas persiaran tersebut dipercayai telah hilang kawalan dan merempuh 10 kenderaan di hadapannya.

Kemalangan itu telah menyebabkan dua mangsa dari salah satu kenderaan yang dirempuh mengalami kecederaan selain mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Kesemua 28 penumpang bas persiaran tersebut terselamat.


17 views0 comments
bottom of page