IPOH – Seorang wanita warga emas nyaris maut selepas dipatuk ular katam tebu di dapur rumahnya di Kampung Kuala Kuang, petang kelmarin.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.36 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian mereka menemui ular sepanjang satu meter itu berhampiran singki dapur.
“Kita dimaklumkan pemilik rumah bahawa ibunya dipatuk ular dan dibawa ke hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, semalam.
Katanya, pihak bomba dan penyelamat bertindak membunuh ular itu menggunakan kayu kerana mengancam nyawa.