TAPAH - Kesedaran orang ramai tentang kesalahan menggunakan lorong kecemasan telah menyaksikan penurunan mendadak saman pengguna jalanraya terhadap kesalahan lalu lintas itu.
Ini terbukti apabila jumlah saman bagi lorong kecemasan yang dikeluarkan semasa Op Select 9/2016, di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) menunjukkan penurunan sebanyak 74.5 peratus berbanding tahun lalu.
Komander Lebuh Raya Zon Utara, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Asisten Komisioner Kanan (ASP), Hazil Reza Mohd Ghazali berkata, sebanyak 1,019 saman dikeluarkan sepanjang ops berkenaan bermula 29 Jun hingga hari ke-11 operasi. "Jumlah saman tersebut menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun sebelumnya di mana sebanyak 6,000 saman dikeluarkan pada 2014, diikuti 4,000 saman pada 2015 bagi kesalahan menggunakan lorong kecemasan. "Saya percaya penguatkuasaan undang-undang bagi enam kesalahan jalan baru-baru ini merupakan faktor utama kepada penurunan jumlah saman berkenaan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Tapah Arah Selatan, petang tadi. Enam kesalahan berkenaan adalah gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak membenarkan kenderaan lain memotong. Ditanya mengenai lokasi paling banyak dikeluarkan saman kesalahan menggunakan lorong kecemasan bagi zon utara, Hazil Reza menjawab susur keluar Slim River, Perak dan Juru, Pulau Pinang.
Sementara itu, Hazil Reza turut memaklumkan trend aliran kenderaan di Lebuh Raya Plus zon utara menunjukkan perbezaan berbanding tahun sebelum ini. "Aliran kenderaan pada 2 hingga 5 Julai tidak menunjukkan kesesakan teruk ekoran pengguna mengikuti jadual perjalanan pulang yang ditetapkan pihak Plus. "Namun aliran kenderaan menjadi sesak pada 8 hingga 10 Julai ekoran orang ramai mula pulang ke bandar tanpa mengikuti jadual perjalanan yang ditetapkan," katanyanya. Tambahnya, kesesakan berkenaan dijangka akan berterusan sehingga petang ini disebabkan masih ada pengguna lebuh raya yang mengambil tindakan untuk pulang sehari selepas cuti tamat.