KUALA TERENGGANU - Lebih 500,000 pengguna di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang mengalami gangguan bekalan air bermula malam tadi berikutan masalah teknikal.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) Ir Atemin Sulong berkata hampir 80 peratus penduduk terutamanya di bandar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan mengalami gangguan ini manakala 30 peratus lagi di daerah Marang.
Katanya gangguan itu dipercayai berpunca selepas suis utama loji Air Kepong meletup dan terbakar akibat dipanah petir, petang Jumaat lalu.
"Sebahagian besar kawasan mula mengalami gangguan bekalan air bermula 7.30 malam tadi dan sebahagian lagi akan menghadapi tekanan air yang rendah," katanya selepas meninjau loji air terbabit di sini awal hari ini.
Bagi daerah Kuala Terengganu kawasan yang terjejas ialah Kampung Ladang, Pusat Bandar Kuala Terengganu, Pasir Panjang, Padang Hiliran, Pulau Kambing, Wakaf Mempelam dan Kampung Pengadang Baru.
Di Kuala Nerus pula melibatkan kawasan Gong Badak, Kampung Batu Enam, Kampung Batu Rakit, Kampung Padang Hangus, Teluk Ketapang, Kampung Wakaf Mersira dan Kampung Lingai.
Atemin berkata bagi daerah Marang pula membabitkan kawasan Kampung Rawai, Bukit Payong, Durian Guling, Binjai Rendah dan Kampung Tasek.
"Bagi daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, hampir 150,000 buah rumah terjejas manakala bagi kawasan Marang pula hampir 5,000 buah rumah melibatkan 10 buah kampung akan mengalami masalah ini.
Jelasnya kerja-kerja pembaikan dijangka mula dilaksanakan hari ini dan dalam tempoh itu, pihaknya akan menghantar bekalan air bersih ini dalam usaha menangani permasalahan tersebut.
Atemin berkata sebahagian lagi kawasan akan terputus bekalan dalam tempoh pemulihan tersebut dan gangguan bekalan air itu dijangka akan pulih secara berperingkat seawal petang ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berjimat cermat dalam penggunaan air semasa tempoh bekalan ini dan menyimpan air yang secukupnya bagi menampung kegunaan harian.
"Orang ramai boleh melaporkan segera jika menemui sebarang kebocoran yang dijumpai dan untuk keterangan lanjut pengguna boleh menghubungi petugas SATU di careline SATU 1-300-882-111," katanya. - Bernama