IPOH: Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyelar tindakan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang bertindak menyiarkan ucapan Hari Raya berbaur sinis dengan berlatarbelakangkan bendera Amerika Syarikat.
Katanya, tindakan daripada seorang yang bergelar pemimpin itu seolah-olah menunjukkan ketidakmatangannya dan merupakan satu penghinaan kepada umat Islam di negara ini.
Noh berkata tindakan pemimpin DAP yang tidak menghormati agama Islam tersebut turut membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang semangat patriotik kerana lebih mengagung-agungkan negara luar.
Katanya, sedangkan secara kebiasaan dan tradisi ucapan Hari Raya Aidilfiti akan menggunakan gambar yang berkaitan kebudayaan Islam seperti Kaabah dan Masjid.
"Jadi bila dia letak bendera Amerika ini apa kaitannya Amerika dengan Hari Raya? Sedangkan kita sedia maklum kita lihat bagaimana kerajaan-kerajaan yang tertentu mereka kadang-kadang memusuhi Islam malah tak senang dengan kebangkitan Islam.
"Nampaknya, Nga lebih mengagungkan negara lain daripada negara sendiri," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Meru Raya, Ipoh yang turut disertai Setiausaha Agung GERAKAN, Liang Teck Meng dan Pengerusi Gabungan Rakyat Junjung Perlembagaan Malaysia (GARAP), Datuk Hamdi Abu Bakar.
Pada 5 Julai lepas, pemimpin tegar DAP, Nga memuatnaik ucapan Hari Raya Aidilfitri dalam laman sosialnya berlatarbelakangkan gambar rumah api dan bendera Amerika Syarikat.
Gambar tersebut turut memaparkan tulisan 'In God We Trust. Lord, Guide Our Nation Back To You' berserta kapsyen "In God We Trust. Video Aidilfitri : We serve to bless others, we are from people, by the people & for the people. Selamat Hari Raya!.
Bagaimanapun, selepas dikecam netizen beliau telah bertindak membuang posting ucapan berkenaan.