MANJUNG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir merasa kesal dengan perbuatan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang langsung tidak menghormati sensitiviti dan budaya umat Islam di negara ini.
Dr Zambry berkata beliau merasa amat pelik dengan tindakan Nga yang mencerminkan sikap seorang ahli politik yang matang walaupun telah berkecimpung dalam dunia politik sudah sekian lama.
"Sebagai seorang ahli parlimen dan seseorang yang mempunyai latar belakang luar negara, kenyataannya itu amat tidak wajar. "Apatah lagi dalam musim perayaan..ini Malaysia tapi dia letak bendera lain malah kebiasaannya dalam konteks agama, gambar yang patut diletakkan adalah masjid dan bukannya White House,"katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri & Meraikan Pengantin Baru (Syifa Zambry dan Ihsan) di Perkarangan Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung pada Sabtu.
Pada 5 Julai, Nga memuatnaik ucapan Hari Raya Aidilfitri dalam laman sosialnya berlatarbelakangkan gambar rumah api, bendera Amerika Syarikat dan bangunan White House.
Perbuatannya itu telah mendapat reaksi netizen yang mempersoalkan motif Nga memuatnaik status sedemikian. Tegasnya, sebagai seorang yang sudah masak dengan dunia politik Perak dan juga Parlimen, Nga tidak sepatutnya menyentuh atau menghina mana-mana agama atau kaum dalam negara. Katanya, beliau sendiri sebagai Menteri Besar turut kurang menggemari menjawab sebarang persoalan yang melibatkan agama dan kaum di mana ianya boleh menimbulkan ketidaksenangan hati orang lain. Bercakap mengenai komen Nga berkenaan wang duit raya yang dianggap sebagai dedak, itu merupakan isu yang dimainkan pembangkang. "Duit raya sebenarnya tradisi masyarakat kita. Jadi kalau ang pow masa perayaan Cina, dedak juga? "Jadi apa sepatutnya, tak kira pembangkang atau kerajaan, tidak wajar mengeluarkan kenyataan sebegini kerana ia dianggap menghina dan perbuatan memalukan. "Saya lebih senang guna perkataan tidak wajar kerana Nga merupakan ahli politik, jika kita orang biasa mungkin boleh dianggap biadap tetapi bagi Nga yang berjawatan ahli Parlimen ianya adalah tindakan tidak wajar,"ujarnya.