IPOH: Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyangkal dakwaan bahawa perletakan jawatan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan isu 1MDB atau isu RM2.6 billion. Ahli Parlimen Tambun itu berkata beliau juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan keputusan Perdana Menteri untuk merombak kabinet dengan meletakkan Datuk Johari Abdul Ghani sebagai pengganti beliau pada 27 Jun lepas.
Husni berkata, perletakan jawatan tersebut merupakan keputusan peribadinya dan bukanlah disebabkan apa yang berlaku dalam keadaan ekonomi semasa Malaysia. “ Sebagai contoh, jika kita bandingkan Malaysia dengan negara yang lain,negara kita sebenarnya mermpunyai kadar penggangguran yang amat rendah, dengan 400,000 penggangguran ianya berbeza jika diaplikasikan kepada negara lain. “ Kalau di Amerika Syarikat, jika kita letakkan 5 peratus penggangguran maka jumlahnya akan mencapai 700,000 penggangguran, jadi maksudnya bagi Malaysia kerajaan kita sebenarnya telah berjaya melakukan sesuatu yang betul,”katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Rumah Terbuka Ahli Parlimen Tambun di kediaman beliau pada petang Khamis. Katanya, untuk mengatakan bahaw 1MDB merupakan sesuatu yang sempurna adalah mustahil kerana setiap pembangunan keusahawanan dan syarikat mempunyai kekurangan tersendiri. “ Ianya terbahagi kepada risiko bisnes dan khidmat rakan kongsi, jadi bermaksud sesiapa sahaja yang mengendalikannya mesti melaksanaannya dengan integriti dan pengetahuan kewangan yang baik. “ Sekiranya ia boleh dilaksanakan menggunakan kaedah ini, saya percaya tidak wujud sebarang masalah untuk menguruskan mana-mana syarikat sekalipun,”katanya lagi.