IPOH: Keputusan muktamad Datuk Seri Ahmad Husni untuk mengakhiri karier politiknya sebagai Menteri Kewangan kedua sememangnya mengejutkan banyak pihak namun yang jelas terkesan adalah masyarakat di sekitar Tambun. Rata-rata menyatakan rasa terkilan dan sedih kerana menganggap Husni seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti menguruskan kewangan dengan baik malah cukup berpengalaman.
Namun, mereka redha dengan keputusan itu dan berpendapat bahawa Husni pasti akan menunaikan amanahnya sebagai Ahli Parlimen Tambun sehingga tamat tempoh sehingga pilihanraya akan datang. Bagi ADUN Ulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, beliau merasakan Tambun sebenarnya amat bertuah kerana dipimpin oleh seorang yang amat berpengalaman malah begitu dekat dengan rakyat. "Lanskap politik Tambun ini dibentuk oleh Datuk Seri Husni sendiri, pembangunan serta kerancakkan dunia politik dan kebajikan yang dilaksanakan di sini berkat tangan beliau sendiri yang bertungkus-lumus memastikan kestabilan parlimen ini. "Apa yang dilakukannya adalah cukup dengan persediaa, proses pemberian amanah untuk memastikan kebajikan rakyat dijaga adalah begitu rapi,"katanya kepada Suara Perak ketika ditemui baru-baru ini. Katanya, beliau cukup yakin dengan teraju tempoh terakhir Husni dalam dunia politik dan di peringkat parlimen sebelum beliau berehat sepenuhnya kelak. Bagi Mohd Khir Hanafiah yang menetap di Medan Klebang Restu, beliau tidak menyangkal hak dan menghormati keputusan Husni untuk meletak jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak antara lainnya. "Masih terbuka lagi ruang untuk beliau memberi khidmat bakti sekitar kawasan Parlimen Tambun dan kami sebagai rakyat yang pernah dibantunya akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi "Kami doakan semua yang terbaik buat beliau dalam fasa ketiga kehidupannya dan tiada masalah bagi kami untuk menerima kenyataan ini ,"katanya lagi. Ahmad Rashid Kamil yang merupakan penduduk Manjoi pula menyatakan kesedihan beliau di atas perletakan jawatan menteri kesayangannya itu. "Kami anak-anak muda di Manjoi sebenarnya berdukacita namun apabila Datuk Seri Husni mengambil langkah kami yakin pasti dia punyai sebab teguh untuk berhenti dalam permainan politik negara ini. "Dia pun dah masak dan cukup memahami konsep politik dan keperluan masyarakat sepanjang bertugas, jadi kami percaya bahawa rasional beliau dalam membuat keputusan ini sudah pasti ada,"katanya.