Pekerja Kilang Roti Sambut Raya Dalam Kedukaan
- muinsapidin
- Jul 7, 2016
- 2 min read
IPOH: Lapan pekerja kilang roti High 5 Cawangan Bercham, Ipoh terpaksa menyambut 1 syawal esok dalam suasana kedukaan kerana diberhentikan kerja oleh pihak majikan tanpa sebarang notis awal dan dibayar pampasan.
Wakil pekerja, Abdul Hanif Yahya, 37, berkata, beliau yang sudah bekerja selama 15 tahun dikilang itu bersama rakan-rakannya kini berada dalam kebingungan kerana kehilangan pendapatan.

Menurut Abdul Hanif, lebih menyedihkan beliau dan rakan-rakan sekerja diberhentikan pada 23 Jun lalu disaat umat islam hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri sehinggakan tiada wang untuk membeli kelengkapan raya untuk anak-anak dan isteri.
"Kami tak terima apa apa alasanpun daripada majikan kami dan yang kami tahu 23 Jun kami dibuang kerja,’’ katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Kledang Raya, Silibin pada Selasa.

Menurut Abdul Hanif, beliau dan rakan-rakannya kini berada dalam keadaan bingung dan sedih kerana tidak dapat membeli kelengkapan raya untuk anak-anak.
"Bukan saja alat kelengkapan raya anak-anak malah saya tepaksa menangguhkan bayaran sewa rumah selain bayaran kereta dan keperluan barangan dapur kerana kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja,’’ katanya.
Seorang lagi pekerja kilang yang diberhentikan, Sabaruddin Kamaruddin, 35, pula berkata, beliau amat kecewa kerana pihak majikan memberhentikannya ketika Hari Raya Aidilfitri hampir menjelang tiba.
"Saya merasa amat sedih kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan meriah bersama isteri dan tiga anak kami disebabkan kehilangan pendapatan akibat dibuang kerja,’’ katanya.
Namun begitu nasib lapan pekerja terbabit mendapat perhatian dan pembelaan kerajaan negeri Perak apabila Penasihat Menteri Besar Perak Datuk V. Elango yang berkunjung ke rumah mereka di Taman Kledang Raya, Silibin memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu mereka.
Menurut Elango, beliau telahpun memaklumkan masalah lapan pekerja kilang roti terbabit kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menter Besar telahpun mengarahkan beliau untuk memberi segala bantuan yang diperlukan kepada lapan bekas pekerja kilang roti itu.



Comments