TAMPIN – Jika 10 tahun dahulu, Ekspo Ramadan di Tampin Square sering dinanti-nantikan oleh masyarakat setempat, namun sejak lokasinya dipindahkan ke pekarangan tempat letak kereta Stadium Mini Tampin, di sini, sambutan diterima semakin hambar.
Peniaga menunjukkan surat rayuan yang dibuat sejak April lalu bagi mengekalkan
tapak lokasi lama Expo Ramadhan di Tampin Square.
Menurut wakil peniaga Ekspo Ramadan, Hendra Hasril, 45, dia merupakan antara pengasas Ekspo Ramadan di Tampin yang bermula pada 1997 di mana ketika itu tidak sampai 10 peniaga berpeluang berniaga bersebelahan Bangunan Umno Tampin. "Pada 1998, kita dapat 14 khemah untuk berniaga di Tampin Square sempena Ramadan. Sambutan diterima semakin baik dan makin ramai peniaga terutamanya peniaga Melayu berminat untuk sertai Ekspo Ramadan. "Malah pada 1999, bilangan khemah berniaga makin bertambah dan Ekspo Ramadan dibuka di laluan tengah dan tepi Tampin Square. Sehinggalah tahun lepas, sebanyak 54 khemah disediakan buat peniaga memeriahkan ekspo berkenaan," katanya ketika ditemui di tapak Ekspo Ramadan baharu di pekarangan tempat letak kereta Stadium Mini Tampin, di sini, semalam. Katanya, sebaik mengetahui lokasi ekspo itu berubah, dia telah membuat rayuan secara rasmi kepada Majlis Daerah Tampin (MDT) pada 13 April lalu untuk mengekalkan tapak ekspo asal memandangkan lokasi baru sukar dikunjungi masyarakat setempat. Katanya, jualan sempena Ekspo Ramadan pada tahun ini semakin 'parah' kerana tidak mendapat sambutan memandangkan lokasinya jauh, tiada kemudahan bank berdekatan serta kain rentang pemberitahuan perubahan lokasi diletakkan di tempat yang tidak strategik. "Kami (peniaga) sendiri terpaksa alih lokasi kain rentang ke Tampin Square bagi memastikan gerai jualan kami di lokasi baru dikunjungi tapi hampa. Kebiasaannya, kalau dah dekat nak raya, 200 ke 300 pasang baju kurung juga boleh dijual, tapi ada peniaga 30 pasang baju pun tak habis jual lagi. "Tahun ini sebanyak 103 khemah disediakan di tapak ekspo baru tapi hanya 28 peniaga sahaja yang sanggup menanggung risiko berniaga di sini. Manakala 13 lagi peniaga telah bertukar ke lokasi ekspo di Pulau Sebang dan 12 orang lagi di Melaka," katanya. Sementara itu, peniaga, Abdul Jalil Md Gapal, 45, Abdul Jalil Md Gapal, 45, dia sudah 14 tahun menyertai ekspo berkenaan dan pada tahun lalu sahaja sebanyak lima stok kuih raya serta kerepek berjaya dijualnya di mana setiap stok bernilai kira-kira RM85,000. Bagaimanapun katanya, sejak lokasinya berubah, stok pertama kuih raya masih belum habis dijual walaupun sudah Ramadan ke-29. "Kebiasaannya lagi empat ke lima hari nak raya orang ramai sudah berpusu-pusu tapi tidak pada tahun ini. Yang datang berkereta sekali lalu sahaja tak singgah sebab lokasi ni terutamanya di waktu siang sangat panas. "Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempertimbangkan semula permohonan kami untuk kembali ke lokasi lama sebab kami terpaksa tanggung kerugian berikutan tak dapat sambutan," katanya. Bagi pengunjung pula, Rozana Idrus, 46, dari Kampung Baru Sungai Kepong Gemencheh berkata, Ekspo Ramadan itu antara lokasi wajib dikunjunginya bersama anak tunggalnya setiap penghujung Ramadan sebagai ganjaran membeli keperluan raya buat anaknya yang berpuasa penuh. "Dah tiga tahun datang sini, dulu naik bas tapi tahun ni dah ada lesen saya naik motosikal dari Gemencheh. Ada kawan kata lokasi dah ubah, jadi saya pergi juga walau tersesat kerana tiada penunjuk arah lokasi untuk tidak menghampakan anak. "Sudahnya bila saya sampai, saya pula yang hampa kerana banyak gerai yang masih belum beroperasi walaupun sudah tengah hari. Tak meriah macam di tapak ekspo lama dan saya harap agar lokasi lama dapat dikekalkan pada tahun hadapan. Dalam pada itu, Yang Dipertua MDT, Mohamed Roduan Ujang berkata, lokasi tapak ekspo terpaksa diubah kerana terdapat beberapa projek sedang dijalankan berdekatan Tampin Square, selain faktor keselamatan kerana pihaknya menerima banyak aduan berhubung kesesakan lalu lintas setiap kali Ekspo Ramadan berlangsung. "Bagaimanapun kita akan kaji semula kesesuaian lokasi ini dan berharap agar peniaga akan dapat memberikan cadangan rasmi berkaitan Ekspo Ramadan Tampin,” katanya.