KOTA TINGGI - Dua lelaki di sini tidak serik melakukan jenayah apabila pihak polis berjaya menahan mereka bersama dadah, pelbagai jenis mercun, bunga api dan rokok pada Jumaat lalu dalam serbuan di sebuah rumah dekat Felda Pasak.
Rahmat (dua, kanan) menunjukkan rokok serta mercun yang dirampas dalam
serbuan di sebuah rumah dekat Felda Pasak, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dikehendaki ditahan kira-kira jam 12.10 pagi oleh sepasukan anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi yang diketuai Inspektor P Davendiran.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia 50an itu ditahan atas kesalahan memiliki dadah berbahaya dipercayai jenis heroin dengan berat anggaran 202 gram bernilai RM2,000.
Pemeriksaan lanjut yang dijalankan dalam rumah rumah suspek pula telah menjumpai pelbagai jenis rokok terdiri daripada 35 karton UC Classic, 16/160 Filter Kretek Mild (36 karton) jenis ABSolute, 42 karton/39 karton U2 Full Flavour, 15 karton U2 Mentol, 22 karton Came Gold dan 17 karton Empire Double Apple.
Turut dijumpai sembilan jenis mercun dan bunga api terdiri daripada sembilan kotak Happy Boom, tiga kotak Crackling Flower, lima kotak Colour Red Flower, dua kotak Thunder King, dua kotak Whistle Moon Traveller, tiga kotak King Boom, 14 kotak Fatt Chayhung Cracker, sekotak Canon King dan tiga kotak Dinosaur Eggs.
"Rokok bernilai RM5,600 manakala mercun dan bunga api yang bernilai RM1,250 itu didapati tidak mempunyai cukai kastam. Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas ke dua suspek yang juga merupakan penagih tegar itu mendapati bahawa hasil rampasan adalah milik mereka,"katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Rahmat, suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan jenayah narkotik selain dikehendaki di Bukit Gambir serta pernah melarikan diri dari pusat sehenti. Sementara suspek ke dua pula mempunyai lima rekod lampau.
Katanya lagi, ke dua-dua suspek disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagi kesalahan memiliki mercun dan bunga api pula disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967 bagi pemilikan rokok tanpa cukai kastam.
"Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut," katanya lagi.