KAMPAR: Seorang remaja lelaki maut apabila basikalnya dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Baru, Malim Nawar di sini pada malam Ahad.
Leong Kah Hoe, 21, yang pada ketika itu sedang dalam perjalanan ke Malim Nawar telah dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Proton Wira dari arah belakang menyebabkan mangsa terpelanting dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Gambar Hiasan
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata kemalangan tersebut berlaku di persimpangan lampu isyarat Malim Nawar-Tanjung Tualang.
“Sekitar 10.40 malam, kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 35 tahun sedang dalam perjalanan dari Bandar Baru Kampar, menghala ke Malim Nawar dan secara tiba-tiba hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian.
“Sejurus itu, kereta yang datang dari arah belakang melanggar mangsa yang sedang menaiki basikal. Rempuhan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya kepada Suara Perak pada Isnin.
Katanya, pemandu kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Ng berkata pada waktu kejadian, keadaan jalan lurus dan mempunyai dua lorong serta cuaca adalah baik.
“Bedah siasat telah dijalankan pada pagi Isnin dan siasatan lanjut bagi kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 ( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya lagi.