Tapah - Niat murni tiga sekawan mengambil barakah di bulan Ramadan dengan memberi gelandangan makan berakhir dengan tragis apabila seorang daripadanya maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya di kilometer 72, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Pekan Pasir, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian 7.02 minit pagi itu, Nurul'ain Sakinan Sallehuddin Khan, 24, yang merupakan mahasiswa Universiti Malaya meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta yang dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam sungai.
Gambar Hiasan
Dua lagi rakan mangsa iaitu pegawai perubahan Hospital Selama, Dr Mohd Azean Kasimi Che Gahni, 24, pegawai PLKN Kedah, Ku Mustaqiem Ku Mohamad Anuar mengalami cedera parah.
Ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang setelah menyertai program amal mengagihkan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu negara sempena bulan Ramadan.
Ketua Polis Daerah Tapah, ACP Som Sak a/l Din Keliaw berkata kesemua mereka merupakan ahli pendaki bukit dikenali sebagai Group Tomato yang baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur setelah membuat kerja kebajikan di Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa terbabas sebelum melanggar penghadang besi dan terjunam ke dalam sungai Pekan Pasir, Bidor.
Kenderaan mangsa terbalik dengan kesemua tayar di atas. Ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan di tebing sungai. Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Selama,”katanya ketika dihubungi.
Katanya, punca kematian mangsa disyaki sesak nafas kerana mangsa didapati meronta-ronta meminta pertolongan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa berjaya diselamatkan.
Katanya lagi, bedah siasat akan dijalankan sekitar 2 petang dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.