GOPENG: Pengguna dinasihatkan mengambil mengambil langkah 'sediakan payung sebelum hujan' dengan menyimpan stok air di rumah masing-masing bagi menghadapi kejadian kemungkinan terputus bekalan di musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata langkah bersiap sedia itu perlu diambil berikutan peningkatan penggunaan air yang tinggi pada musim perayaan.
Katanya Lembaga Air Perak (LAP) akan melaksanakan tanggungjawab memastikan bekalan air mencukupi buat pengguna namun kemungkinan terputus bekalan tidak dapat dijangka dalam waktu puncak seperti musim perayaan.
"Nasihat ini saya beri kerana setiap tahun saya pasti menerima panggilan daripada orang ramai mengadu terputus bekalan air atau bekalan air tidak mencukupi. Untuk pengetahuan semua LAP sentiasa memastikan bekalan cukup di sekitar Perak sepanjang tahun.
“Isunya, bukan ketiadaan bekalan air tetapi penggunaan air di setiap kediaman yang melebihi had, sedangkan LAP sentiasa memastikan bekalan lebih daripada permintaan penggunaan. Tetapi ada kalanya kita tidak dapat jangka,”katanya kepada pemberita.
Jelasnya, pengguna seharusnya bijak membuat penilaian dan menyimpan bekalan atau takungan air persendirian bagi kegunaan musim perayaan.
Katanya, kawasan yang sering mendapat kesan kekurangan air adalah mereka yang berada di hujung kawasan penyambungan saliran paip air berikutan tekanan yang rendah.
Zainol berkata isu kekurangan atau ketiadaan air boleh ditangani sekiranya semua pihak bekerjasama dan bijak mengendalikan pengurusan air di musim perayaan, baik Aidilfitri atau mana-mana musim perayaan.
“Dalam masa sehari, penggunaan normal bagi seorang individu adalah sebanyak 50 liter, bayangkan kalau ada 10 atau 20 orang di dalam satu rumah apabila Aidilfitri ini, pastinya penggunaan tersebut akan bertambah.
“Jadi adalah wajar kita membuat persiapan awal untuk memastikan kita dapat merayakan Syawal ini dengan mudah dan tidak membebankan,”katanya lagi.