SUNGAI SIPUT: Prihatin dengan keperitan hidup golongan kurang bernasib baik menjelang Hari Raya Aidilfitri, Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun menghulurkan bantuan kepada lebih 2,500 warga miskin di kawasannya.
Antara kumpulan yang menerima sumbangan itu termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, muallaf, anak yatim dan ketua keluarga miskin.
Zolkafly berkata, pihaknya tidak pernah melupakan golongan yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi ketika menjelang sesuatu perayaan.
“Kita memahami bahawa mereka ini perlu dibantu dan diberi perhatian, mudah-mudahan dengan sedikit bantuan yang kita berikan kepada mereka ini akan dapat melegakan,
mengembirakan mereka,” katanya kepada pemberita pada Program Ihya Ramadan dan Jalinan Kasih Aidilfitri di pekarangan Wisma UMNO Sungai Siput pada Ahad.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput berazam untuk mempertingkatkan lagi sumbangan di masa-sama akan datang.
“Jika diizinkan oleh Allah, memberi rezeki yang lebih baik banyak lagi pada tahun-tahun yang akan datang, kita juga akan memberikan sumbangan yang lebih besar dan lebih banyak lagi kepada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, beberapa penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana masih ada pihak yang sudi membantu meringankan beban mereka ketika menyambut lebaran.
Kamsiah Mohd Rosli, 35, yang mempunyai lima orang anak berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan sepertinya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Sekurang-kurangnya alhamdulillah dapat membantu meringankan beban kami yang mempunyai tanggungan yang ramai. Insya allah, kalau ada rezeki, kalau boleh biarlah tiap-tiap tahun macam ni, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami,” katanya.
Warga emas, Radzi Jaudin, 65, juga berharap supaya sumbangan seumpama itu dapat diteruskan masa-masa akan datang kerana ia membantu orang yang susah seperti ibu tunggal, OKU, muallaf, anak yatim dan warga emas.
“Saya juga mengharapkan supaya kita rakyat dapat menyokong apa dasar-dasar yang telah dibuat oleh kerajaan semoga kerajaan boleh terus membantu rakyat yang memerlukan,” ujarnya.