TAPAH: Tiga wakil rakyat Tapah bergabung tenaga menghulurkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 500 golongan miskin dari kalangan warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan, ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan.
Samsudin berkata, mereka bertiga sering berganding bahu menganjurkan pelbagai program untuk rakyat, termasuk melaksanakan projek pembangunan untuk masyarakat setempat.
“Kami wakil rakyat dari parti komponen Barisan Nasional - UMNO, MCA dan MIC sentiasa bekerjasama dalam apa juga program, itulah antara resepi semua kerusi di Tapah dapat dipertahankan walaupun berlaku tsunami politik pada pilihan raya umum lalu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Aidil Fitri 2016 di Dewan Merdeka Tapah pada Jumaat.
Turut hadir Saravanan dan wakil Dr Mah kerana beliau berada di luar negara.
Samsudin berkata, selain daripada sumbangan itu, pihaknya juga telah menghulurkan pelbagai sumbangan sejak sebelum bulan Ramadan bermula di samping program yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Beliau memberitahu, antara program yang dijalankan oleh tulang belakang dan sayap UMNO ialah tadarus al-Quran, mengedarkan bubur lambuk, menghiasi rumah golongan kurang berkemampuan dan membeli pakaian raya untuk anak yatim dan miskin.
Sementara itu, Saravanan pula berkata, walaupun sumbangan itu tidaklah banyak tetapi ia serba sedikit dapat membantu mengurangkan beban kewangan golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.
“Inilah uniknya kita, perayaan sesuatu kaum turut dirayakan oleh kaum lain, misalnya kalau dahulu, majlis berbuka puasa hanya untuk orang Islam tetapi sekarang kaum lain juga dijemput untuk sama-sama meraikannya,” ujar beliau.
Selepas majlis itu, Samsudin dan Saravanan bersama-sama menyertai program Wanita dan Puteri UMNO membeli pakaian raya untuk anak-anak yatim dan miskin di sebuah pusat pakaian di bandar Tapah.