KERIAN: Dua maut dalam kemalangan bas ekspress yang terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 194.9 Lebuhraya Utara Selatan ( PLUS), dekat sini pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Katanya, kemalangan tragik tersebut berlaku sekitar 5.30 petang dan bas berkenaan sedang menghala ke arah utara.
"Kita masih belum mendapatkan jumlah sebenar mangsa yang cedera dan setakat ini seorang perempuan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang lagi lelaki meninggal dunia berikutan kemalangan itu di Klinik Kesihatan Semanggol," katanya.
Jelasnya, keadaan trafik buat masa ini masih terkawal dan maklumat lengkap akan menyusul.