IPOH: Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man telah menceriakan 1,500 kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di perhimpunan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bandaran Ipoh pada Jumaat.
Perjumpaan khas itu yang bertemakan `Berhari Raya Di Kampung’ turut disertai ahli-ahli majlis (MBI) dan wakil-wakil media tempatan.
Zamri semasa bercakap kepada media berkata, perhimpunan itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada kakitangan peringkat bahagian dan jabatan MBI untuk beramah mesra.
``Perhimpunan khas ini diadakan memandangkan hari ini merupakan hari terakhir bagi mereka sebelum pulang ke kampung dan akan kembali bertugas selepas menyambut Aidilfitri dalam suasana ceria,’’ katanya.
Pada perhimpunan itu, beliau menyampaikan hamper berisi kuih raya kepada wakil-wakil jabatan MBI, ahli-ahli majlis dan wakil-wakil media tempatan.
Beliau turut mengambil kesempatan menghadiri sesi bergambar beramai-ramai bersama kakitangan MBI.