top of page
muinsapidin

JKM Perak Tahan 81 Pengemis Dan Gelandangan

IPOH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak berjaya menahan 81 pengemis dan gelandangan di seluruh negeri melalui operasi yang bermula sejak awal tahun sehingga Mei lalu.

Pengarahnya, Rosmahwati Ishak berkata, jumlah tersebut merupakan hasil tangkapan daripada 62 operasi yang dijalankan secara dalaman dan bersepadu bersama agensi lain dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 80 orang adalah warganegara Malaysia manakala hanya seorang melibatkan warganegara asing.

"Seramai 32 orang adalah warga emas, sembilan orang kurang upaya (OKU), lapan kanak-kanak dan 32 orang lain-lain kes," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu di sekitar daerah Kinta pada petang Rabu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, lapan kes telah ditempatkan di institusi JKM di Desa Bina Diri atau Rumah Seri Kenangan di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 manakala selebihnya diserahkan kepada keluarga atau waris dengan amaran.

Beliau berkata, tahun lalu, sebanyak 113 kes dicatatkan dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, beliau yakin bilangan kes tahun ini dijangka meningkat ekoran kekerapan pihaknya menjalankan operasi berkenaan.

"Di Perak, kita mendapati sindiket berleluasa terutama mereka yang mengemis dan menjual barangan seperti kerepek di hadapan bank, melibatkan bukan warganegara," katanya lagi.

Rosmahwati memberitahu, lokasi panas yang sering menjadi tumpuan golongan ini di sekitar daerah Kinta ialah Silibin, Greentown dan pekarangan Stadium Perak.

Katanya, hasil kekerapan rondaan yang dilakukan oleh pihaknya, didapati kes-kes menggunakan pelajar tahfiz untuk mengutip derma telah semakin berkurangan.

"Kita meminta orang awam menyalurkan sumbangan melalui pihak berwajib dan bukan kepada mereka yang meminta-minta di jalanan kerana ia akan menyukarkan lagi jabatan membanteras kegiatan berkenaan," ujarnya.

Dalam operasi yang dijalankan pada petang Rabu, JKM Perak berjaya menahan 10 orang peminta sedekah dan gelandangan.


40 views0 comments
bottom of page