top of page

Speaker DUN Perak: Pemuda Mahu Dikembalikan Pada UMNO

muinsapidin

IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mahu jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diserahkan kembali kepada UMNO setelah beberapa penggal diberikan kepada MIC.

Ketuanya, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata, untuk itu, Pemuda UMNO mencadangkan agar Timbalan Speaker, Datuk Nasaruddin Hashim dilantik menggantikan Datuk Seri SK Devamany yang perlu melepaskan jawatan itu setelah dipilih mengganggotai Kabinet.

Menurutnya, Nasaruddin yang juga ADUN Bota dilihat sesuai menggalas tugas tersebut kerana pengalaman menjalankan tugas dengan baik membantu Speaker sebelum ini.

“Pemuda UMNO Perak memberi kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk memilih siapa sahaja yg difikirkan sesuai bagi menjawat jawatan Speaker DUN kali ini,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan kekosongan kerusi Speaker DUN Perak yang bakal ditinggalkan Devamany kerana dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Difahamkan, Devamany telahpun menghantar surat perletakan jawatan itu selepas berakhir Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak Ke-13 pada 12 hingga 18 April lalu.

Hairul Anwar berkata, cadangan yang dikemukannya itu dilihat lebih adil tanpa prejudis kepada pihak lain.

Menurutnya, bagi jawatan Timbalan Speaker pula, ia terpulang kepada Menteri Besar dan ADUN lain untuk mencadang dan menyokong sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang difikirkan sesuai, sama ada dari UMNO mahupun MCA atau MIC

Untuk rekod, kali terakhir Speaker DUN dari UMNO adalah pada tahun 2004 hingga 2008 iaitu Datuk Mat Isa Ismail sebelum diambil alih oleh Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak selama 11 bulan.

Kemudian, Datuk R Ganesan dari MIC menggantikan Sivakumar selepas Barisan Nasional berjaya menerajui semula kerajaan negeri, mulai 7 Mei 2009 sehingga 5 Mei 2013.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU13) pada tahun 2013, Devamany kemudiannya dipilih sebagai Speaker DUN Perak yang baharu.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada senario politik sekarang, tidak mustahil kerajaan negeri akan mengekalkan jawatan Speaker DUN kepada wakil MIC sehingga tamat tempoh penggal ini yang dijangka pada 2018.


39 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page