KUALA KANGSAR: Parlimen Kuala Kangsar bakal dijadikan destinasi `must stop’ atau mesti dikunjungi belia berikutan usaha untuk menjadikannya sebagai tarikan golongan tersebut sedang diusahakan.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid berkata, beliau sedang berusaha mewujudkan Sekretariat Orang Muda 1Kuala yang bertujuan menjadikan Bandar Diraja itu sebagai salah satu tempat tumpuan golongan berkenaan.
Menurut beliau, di bawah perancangan itu pelbagai penambahbaikkan akan dilakukan daripada segi prasarana sedia ada dan juga program-program yang mesra belia.
“Saya hendak merangka usaha-usaha supaya Kuala Kangsar menjadi `must stop’ untuk orang muda. Ketika ini sedang mencari satu tempat supaya saya dapat menubuhkan sekretariat itu,” katanya ketika ditemui Suara Perak di pejabat pusat khidmatnya di sini pada Rabu.
Tambah beliau, salah satu daripada usaha yang sedang dilakukkannya ialah memperbanyakkan lagi Wifi di daerah itu bagi memastikan kaedah media alternatif dapat digunakan dengan berkesan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, beberapa perjumpaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua kampung seluruh parlimen Kuala Kangsar akan diadakan sebaik tempoh iddahnya tamat 15 Ogos depan bagi mengenal pasti permasalahan penduduk.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie di pejabatnya.
Mengulas mengenai kujungan itu, Mastura memberitahu beliau bersama Heng telah berbincang mengenai agenda pemerkasaan wanita di parlimen berkenaan.