IPOH - Harga hasil laut seperti sotong, udang dan ikan di pasar awam di bandaraya ini didapati meningkat berbanding beberapa minggu lalu.
Tinjauan Bernama di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini mendapati harga sotong saiz sederhana kini dijual RM28 hingga RM30 sekilogram berbanding RM17 hingga RM20 sekilogram sebelum ini.
Seorang peniaga hasil laut di pasar berkenaan, Mohd Wignes Edrin Abdullah, 26, berkata bekalan hasil laut memang tidak dapat dijangka dan turun naik harga ditentukan melalui pemborong.
"Harga sotong atau hasil laut lain bukan naik disebabkan hari raya atau apa-apa perayaan tetapi bergantung kepada harga yang dijual oleh pemborong," katanya.
Vincent Chan, 32, yang berniaga kerang dan lala berkata harga kerang tidak menentu sejak dulu lagi dan ia bergantung kepada hasil tangkapan nelayan.
"Kalau hasil nelayan banyak pemborong akan jual murah kadang-kadang harga kerang yang masih mempunyai kulit boleh turun sampai RM5 sekilogram tetapi kalau kurang akan naik sampai RM18 sekilogram," katanya.
Seorang pesara Salmiah Yusuf, 60, ketika ditemui semasa membeli barangan keperluan harian di pasar itu berkata harga sayur-sayuran masih lagi stabil namun harga hasil laut naik berbanding hari biasa.
"Harga sayur memang tak terasa sangat naiknya, kalau ada pun mungkin RM1 atau RM2, tapi kalau ikan memang terasa mahal berbanding hari biasa. Macam sekarang ikan kembung naik sampai RM15 sekilogram sebelum ini tak semahal ini," katanya.
Sementara itu, Bernama turut meninjau pendapat orang ramai yang memilih untuk membeli-belah di sebuah pasar raya di sini.
Suri rumah Soosilh Simon, 70, berkata beliau lebih gemar membeli barangan keperluan di pasar raya kerana harganya lebih murah.
"Bagi saya harga di sini lebih murah berbanding di pasar awam kerana mereka selalu ada promosi dan potongan harga, lagi pun bahan-bahan di sini lebih segar," katanya.
Pendapat itu turut disokong kakitangan awam Fadhli Ahmad, 58, yang berpendapat harga ikan, sayur, ayam dan beras lebih murah di pasar raya berbanding di pasar awam.
Pada 11 Jun lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan 21 jenis barangan disenaraikan di bawah skim kawalan harga musim perayaan berkuat kuasa 16 Jun hingga 6 Julai ini.
Antara barangan itu ialah ayam standard, telur ayam, cili merah, tomato dan ikan kembung. - Bernama