top of page
muinsapidin

Tapah Bakal Miliki Litar Lumba

KAMPAR: Daerah Tapah bakal memiliki sebuah litar lumba tidak lama lagi sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai pelumba muda yang mampu menempa nama di peringkat tertinggi sukan permotoran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, sebuah kawasan seluas kira-kira 12 hektar (30 ekar) telah dikenalpasti di Temoh untuk pembinaan litar tersebut.

Menurut beliau, kos pembinaan litar itu dianggarkan kira-kira RM1 juta dan sebagai permulaan, pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah meluluskan peruntukan RM100,000 untuk kerja-kerja awal.

Beliau memberitahu, pembinaan itu akan dimulakan secepat mungkin sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada pihak yang berkenaan.

“Usaha ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan satu litar lumba di setiap daerah di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Kelab Sukan Komuniiti DUN Air Kuning di Hotel Grand Kampar di sini pada Isnin malam.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan mahu memperbanyakkan litar lumba rakyat serta membaik pulih litar sedia ada, dalam usaha melahirkan lebih ramai pelumba muda yang mampu menempa nama di peringkat tertinggi sukan permotoran.

Ia juga ekoran kejayaan anak muda dari Kampung Gajah, Khairul Idham Pawi, 17, yang mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama memenangi saingan Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina, baru-baru ini.

Samsudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri berkata, pembinaan litar lumba itu juga akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.


25 views0 comments
bottom of page