IPOH: Syarikat pengendali projek landasan keretapi elektrik berkembar Ipoh- Padang Besar, MMC- Gamuda Sdn. Bhd. digesa membayar segera pampasan berjumlah lebih RM200,000 kepada 57 pemilik rumah diKerian yang mengalami kerosakan akibat kerja-kerja pembinaan projek landasan itu tidak lama dahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim yang membuat gesaan itu berkata, pemilik rumah terbabit sudah menunggu sekian lama untuk mendapatkan pampasan sejak tahun 2012.
Datuk Rusnah Kassim
Menurut Rusnah, beliau dimaklumkan bahawa satu mesyuarat di antara MMC-Gamuda dengan Unit Perancangan EKonomi Negeri (UPEN) bagi memutuskan pembayaran pampasan itu telah selesai diadakan pada 2012.
Katanya, pihak MMC-Gamuda telah menetapkan syarat bahawa pembayaran pampasan akan dibuat sekiranya kesemua 63 pemilik rumah yang mengalami kerosakan semasa pembinaan landasan itu bersetuju untuk menerima pampasan.
Menurut beliau, daripada 63 pemilik rumah yang terlibat seramai 57 pemilik rumah telah bersetuju untuk menerima pampasan itu manakala enam lagi pemilik rumah menolaknya dengan alasan mahu pampasan tambahan.
Beliau berkata, akibat tindakan enam pemilik rumah terbabit menyebabkan pihak MMC-Gamuda terpaksa menangguhkan pemberian pampasan tersebut sehingga ke hari ini.
``Alasan penangguhan itu ialah pertama pihak MMC-Gamuda mahu kesemua 63 pemilik rumah bersetuju untuk menerima pampasan itu dan alasan kedua mereka takut disaman oleh enam pemilik rumah yang mahukan pampasan tambahan.
``Saya amat berharap pihak MMC-Gamuda dapat membayar dulu pampasan yang dianggarkan antara RM2,000 hingga RM12,000 kepada 57 pemilik rumah yang terlibat bagi membolehkan wang tersebut digunakan untuk menyambut Hari Raya yang semakin hampir ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Pertubuhan Sukarela Kebajikan Anak Yatim Islam Negeri Perak di pekarangan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Ipoh pada selasa.
Rusnah berkata, beliau tidak nampak kenapa pihak MMC-Gamuda masih bertegas mahu menangguhkan pembayaran itu sehingga kesemua 63 pemilik rumah bersetuju untuk menerima pampasan.
`` Saya mintalah pihak MMC-Gamuda prihatin dalam hal ini dan ada belas kasihan kepada 57 pemilik rumah yang telah sekian lama menunggu untuk mendapatkan pampasan, lebih-lebih lagi ketika disaat mereka hendak menyambut hari lebaran ini,’’ ujarnya.
Pada majlis itu, Rusnah telah menceriakan 649 anak yatim apabila menyumbang sejumlah RM68,700 kepada 22 buah rumah anak yatim Islam di seluruh Perak.