IPOH: Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perak, Datuk Rusnah Kassim menyifatkan keputusan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melepaskan jawatan Menteri Kewangan II dan semua jawatannya dalam parti dan Barisan Nasional (BN) termasuk sebagai Ketua UMNO Bahagian Tambun sebagai satu kehilangan besar buat negeri Perak dan negara.
Menurut Rusnah, beliau amat mengenali Husni sebagai seorang pemimpin yang kuat bekerja, lebih-lebih lagi menjaga kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Tambun.
``Dia merupakan seorang pemimpin yang kuat bekerja dan saya sebenarnya banyak belajar daripadanya tentang cara dia bekerja dan sebagainya, keputusan yang diambilnya itu bagi saya merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Perak dan negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri Pertubuhan Sukarela Kebajikan Anak Yatim Islam Negeri Perak di perkarangan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyaraksat (JKM), Ipoh pada Selasa.
Rusnah turut melahirkan rasa terkejut terutamanya apabila Husni melepaskan semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua UMNO Bahagian Tambun.
Katanya, dalam beberapa bulan lalu, beliau pernah bersembang dengan Husni dalam satu perjumpaan dengan pemimpin UMNO di Ipoh tetapi hanya sekadar perbualan biasa dan bekas Menteri Kewangan II itu tidak menunjukkan sebarang tanda mahu melepaskan jawatannya dalam parti.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, Husni telah memohon bersara sekaligus melepaskan jawatan Menteri Kewangan II yang dipegangnya.
Pengumuman mengenainya dibuat Najib dalam sidang media bagi memaklumkan penyusunan semula kabinetnya.