top of page
muinsapidin

DAP Ambil Kesempatan Persaraan Husni

IPOH: DAP cuba menangguk di air keruh apabila memuji tindakan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meletakkan kesemua jawatan dipegangnya dalam Barisan Nasional (BN) kerana ingin bersara.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan dikeluarkan, menyifatkan perletakkan jawatan itu sebagai satu tindakan berani yang kononnya cuba membela intergriti.

“DAP mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Ahmad Husni yang kini bebas dari belenggu krisis skandal kewangan negara sebagai individu.

“DAP berharap ada lebih ramai pemimpin yang berintegriti dalam kerajaan akan mengikut langkah beliau,” katanya dalam kenyataan tersebut yang dikeluarkan pada Selasa.

Dakwa beliau, Husni sebenarnya melepaskan semua jawatan disebabkan tidak mahu lagi bersekongkol dengan skandal kewangan yang sedang melanda negara ketika ini.

Dakwanya lagi, perletakan jawatan itu juga menunjukkan bahawa kedudukan kewangan negara kini semakin kritikal dan tidak boleh dipandang remeh oleh rakyat jelata.

“Hutang negara, termasuk hutang yang dijamin oleh kerajaan kini mencecah paras RM810 bilion dan keadaan ini bertambah teruk dengan skandal raksasa kewangan 1MDB yang berhutang sebanyak RM55 bilion,” dakwa Nga.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, Husni telah memohon bersara sekaligus melepaskan jawatan Menteri Kewangan II yang dipegangnya.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Najib dalam sidang media bagi memaklumkan penyusunan semula kabinetnya.

"Husni telah memaklumkan kepada saya dia mahu bersara, jadi saya hormati keputusan itu, dia sekarang sedia untuk bersara," kata Najib dalam sidang media itu.


15 views0 comments
bottom of page