IPOH: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) memberi jaminan bilangan bas untuk membawa penumpang pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri awal bulan depan mencukupi.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, setakat ini pihaknya menerima hanya beberapa permohonan daripada pengusaha bas bagi mendapatkan Lesen Pelepasan Sementara (LPS).
Menurut beliau, bilangan permohonan itu sekaligus memberi gambaran bahawa tidak akan timbul masalah bas untuk perayaan kali ini.
"Paling penting pengguna mesti membeli tiket lebih awal. Apa yang menjadi masalah ialah pengguna membeli tiket pada saat akhir, selain pengendali bas memohon LPS juga pada saat akhir," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi bagi meninjau perkhidmatan MyBas Ipoh di Terminal Aman Jaya pada Isnin.
Justeru itu, beliau menasihati orang ramai untuk tidak membeli tiket bas dari “ulat”, sebaliknya membeli secara terus dari kaunter rasmi yang disediakan bagi mengelakkan daripada ditipu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, perkembangan baik pengangkutan tren elektrik (ETS) yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) merupakan penyebab kurangnya permintaan terhadap bas ekspres.
“Saya fikir cerita bas tidak mencukupi tidak berlaku lagi, zaman dahulu mungkin kerana ketika ini pengguna ke utara tanah air menggunakan perkhidmatan ETS yang diadakan hingga ke Perlis,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai syarikat pengendali bas ekpsres yang menaikkan kadar tambang sesuka hati menjelang perayaan Aidilfitri awal bulan depan.