top of page
muinsapidin

Program Ziarah Diperhebat Menjelang Aidilfitri

PARIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria memperhebatkan lagi program ziarah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba minggu depan.

Menurut beliau, program itu telah menjadi acara berterusan beliau sejak menjadi wakil rakyat, untuk turun padang melihat sendiri golongan yang kurang bernasib baik seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau memberitahu, selain bertanya khabar dan masalah mereka, beliau juga turut menghulurkan bantuan, termasuk kotak bantuan makanan untuk golongan berkenaan.

“Sebagai manusia biasa yang punya hati dan perasaan, mereka juga mahu menyambut Ramadan dan Aidilfitri seperti orang lain, walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya kepada Suara Perak.

Sehubungan itu, Drs Nizar memohon jasa baik penduduk setempat, khususnya ketua-ketua masyarakat supaya sentiasa prihatin bagi memastikan tidak ada yang tertinggal dan tiada yang terpinggir.

“Masyarakat sekeliling yang mempunyai kemampuan, tolonglah dan bantulah mereka ini, lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadan yang mulia dan penuh barakah ini,” ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Shahsiah negeri berharap, umat Islam dapat merayakan Aidilfitri bersama-sama kaum keluarga dan sahabat handai, tanpa melupakan golongan yang kurang bernasib baik.

“Sambutlah lebaran dengan penuh rasa syukur, mengunjungi sanak saudara, tanpa melupakan golongan kurang bernasib baik seperti warga emas dan OKU,” kata beliau.


7 views0 comments
bottom of page