IPOH: Pusat Rekreasi dan Hotspring Lubuk Timah (PRELUT) menceriakan 100 anak yatim piatu dan miskin dengan memberi sumbangan baju raya sebagai persediaan menyambut Syawal tidak lama lagi.
Mereka merupakan anak-anak terpilih dari sekitar Perak yang diraikan dengan kelengkapan Aidilfitri dalam program Kasih Ramadan PRELUT di pasaraya Tesco Extra baru-baru ini.
Pengarah Urusan PRELUT, Fadzil Akma Mohd Yusoff berkata, program kebajikan tahunan itu diadakan khusus bagi memberikan sedikit kegembiraan buat mereka yang tidak berkemampuan di Perak.
"Ini merupakan kali kedua kami mengadakan program kebajikan ini dan ia merupakan salah satu daripada amal jariah yang boleh kami berikan, juga sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami, apatah lagi di bulan Ramadan ini,” katanya kepada Suara Perak.
Beliau memberitahu, kebanyakan daripada penerima merupakan mereka yang dipilih oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Pedagang dan Usaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) serta badan-badan kebajikan dan sekolah-sekolah sekitar Perak.
Fadzil berkata, kanak-kanak tersebut diberi peluang untuk memilih sendiri busana raya masing-masing bersama-sama guru, orang tua yang masih ada dan dibantu oleh kakitangan PRELUT.
Sementara itu, Guru Besar SK Jati, Meru, Khalijah Yahaya, 55, berkata, itu merupakan peluang buat 20 murid-murid yatim piatu dan miskin di sekolahnya untuk merayakan Aidilfitri dengan lebih gembira.
"Ini kali pertama anak-anak murid ini ditaja sepenuhnya bagi busana mereka, sebelum ini kami terpaksa berusaha mencari tajaan dan sumbangan daripada orang ramai dan syarikat,” ujarnya.
Beliau berharap banyak lagi syarikat, organisasi, pertubuhan dan badan korporat akan mengikut jejak langkah PRELUT, lebih-lebih lagi di bulan puasa yang mulia dan penuh barakah .