KUALA KANGSAR: Pesta panjut atau pelita hiasan yang lazimnya di pasang menjelang Hari Raya Aidilfitri, boleh mengeratkan lagi silaturrahim di antara golongan tua dan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor berkata, pesta itu juga dapat melahirkan idea kreatif dan inovatif, gandingan daripada kedua-dua generasi itu.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak beranggapan negatif, kononnya pesta itu tidak memberi faedah dan hanya melalaikan.
“Orang muda sentiasa kreatif dan inovatif untuk mereka cipta sesuatu yang menarik dan disokong pula oleh orang-orang tua yang memberi nasihat perkara-perkara yang baik.
“Maka sudah tentulah ia menjadikan sesuatu yang terbaik daripada suasana kampung itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pertandingan dan Pertunjukan Panjut Parlimen Padang Rengas di sini pada Sabtu malam.
Zainun berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat dakwaan kononnya orang muda dan golongan tua di kampung-kampung sudah tidak sependapat dan seiringan dalam pelbagai perkara.
Bagaimanapun, beliau yakin, dengan adanya pertandingan dan pertunjukan panjut, ia akan berlaku sebaliknya dan menjadikan perpaduan kampung lebih kukuh dan lebih seronok serta ceria untuk didiami.
Sebanyak 42 pasukan yang mewakili kampung-kampung di kawasan Parlimen Padang Rengas mengambil bahagian dalam program tersebut yang masuk tahun ketiga dianjurkan.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Padang Rengas, Mohd Arif Abdul Majid berkata, antara tema pertandingan itu ialah kampungku, bangunan bersejarah dan Selamat Hari Raya.
“Kita berharap pertandingan panjut ini akan menjadi produk pelancongan di Parlimen Padang Rengas dan kami juga berharap agar dapat melaksanakannya tiap-tiap tahun,” katanya.
Menurut Mohd Arif, sesi pengadilan pertandingan akan dilakukan oleh beberapa juri berpengalaman 2 dan 3 Julai depan.