top of page
muinsapidin

Ahli Parlimen Belia Edar Kurma

IPOH: Tiga Ahli Parlimen Belia Malaysia dari Perak mengedarkan 500 bungkusan kurma kepada penumpang pengangkutan awam di Stesen Keretapi Ipoh dan Terminal Amanjaya di samping kakitangan awam yang bertugas di UTC di sini.

Ketiga-tiga mereka, Al-Yashir Yahya, Khairunisa Dottie Khairuddin dan S Nelson Perumal turut disertai Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak, Abdul Rahim Tuan Bahru.

Menurut Al-Yashir, selain daripada mempromosikan Ahli Parlimen Belia Malaysia, program itu juga adalah sebagai tanda prihatin mereka terhadap penumpang pengangkutan awam yang akan balik ke destinasi masing-masing.

“Di samping itu, kami juga bertanya mereka mengenai persediaan balik kampung nanti dan rata-rata mereka berpuas hati dengan sistem pengangkutan awam yang ada di negara ini.

“Cuma permintaan mereka agar diperbanyakkan lagi tren atau bas yang akan mereka gunakan mulai 2 Julai nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bungkusan kurma kepada penumpang ETS di Stesen Keretapi Ipoh pada Ahad.

Al-Yashir berkata, pihaknya juga bertanya kepada penumpang yang ditemui mengenai isu-isu semasa di negeri Perak dan rata-ratanya tiada isu besar yang dimaklumkan kepada mereka.

Menurutnya, Ahli Parlimen Belia Malaysia dari Perak juga akan mengadakan program di rumah anak yatim di Kampung Merawan Indah untuk mengedarkan sumbangan berupa barangan keperluan untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri kepada kira-kira 30 anak yatim di rumah tersebut.

“Ini adalah satu lagi inisiatif Ahli Parlimen Belia dari Perak untuk lebih turun ke padang, lebih mendekati anak-anak muda, khususnya golongan yang keterbawahan di negeri ini,” ujarnya.


11 views0 comments
bottom of page