LANGKAP: Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sepatutnya telah lama dilakukan kerana mereka telah melakukan pelbagai tindakan yang menggugat UMNO dan kepimpinan parti sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, pucuk pimpinan parti tidak mahu terburu-buru dan masih memberi ruang dan peluang kepada kedua-kedua mereka untuk memperbetulkan keadaan.
Malangnya, kata beliau, Muhyiddin dan Mukhriz semakin jauh sehingga terlibat di dalam pentas yang sama dengan pembangkang.
Menurut beliau, tindakan kedua-dua bekas pemimpin umno itu bukan sahaja untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, malah boleh juga menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
“Kita tak bolehlah nak tunggu sampai bila lagi,disebabkan ini kerana bulan Ramadan, kononnya bulan untuk berbaik-baik.
“Kita berbuat baik sepanjang masa, bulan Ramadan pun kita nak berbaik, sebelum bulan Ramadan pun kita nak berbaik.
“Memang sikap kita sikap berbaik-baik, tetapi pihak orang lain yang tak mahu berbaik-baik, jadi kita nak buat macam mana, bertepuk sebelah tangan tak jadi, dan peluang telah diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan zakat Kementerian Pertanian dan Asas Tani kepada 450 asnaf di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di sini pada Sabtu.