IPOH: Tujuh persatuan belia Cina bergabung menganjurkan mini marathon `The Green World Run 2016 yang antara lain bertujuan meningatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya memelihara alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Larian, Lim Meng Wai berkata, program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak itu akan diadakan di Ipoh pada 17 Julai ini, meliputi jarak larian sepanjang 10 kilometer.
Menurut beliau, setakat ini jumlah penyertaan sudah mencapai 400 orang dan pihaknya mensasarkan sehingga 1,000 orang peserta.
“Kita tidak menawarkan hadiah berbentuk wang dan lebih kepada pemberian 'Limited Edition Medal', sijil penyertaan dan beberapa hadiah saguhati,” kata Lim kepada pemberita semasa sesi sidang media 'The Green World 2016' di Bilik Seminar, Jabatan Belia dan Sukan Perak pada Jumaat.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, usaha berterusan perlu dilakukan untuk menyelamatkan bumi daripada terus diancam kemusnahan dan pencemaran.
“Setiap peningkatan suhu akan datangkan tahap kemusnahan pada bumi, oleh itu usaha mengitar semula adalah tanggungjawab bersama untuk lindungi bumi. Kita harus hentikan peningkatan suhu bumi melalui pelbagai cara,” katanya.
Menerusi larian itu, 20 orang peserta yang berjaya menamatkan larian paling awal bagi tiap-tiap kumpulan lelaki, perempuan dan pelajar akan dianugerahkan lawatan dan penginapan di My Gopeng Resort untuk dua hari satu malam.
Anatara badan belia Cina yang terlibat dalam kerjasama itu ialah Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia, Persatuan Belia Kristian Malaysia, Pergerakan Pemuda Malaysia, Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia dan Persatuan Usahawan Maju Malaysia.