IPOH: Majlis Belia Negeri (MBN) Perak mengecam keras tindakan individu atau kumpulan yang memviralkan kempen pembayaran zakat terus kepada asnaf, bukan melalui Majlis Agama Islam di dalam media sosial baru-baru ini.
Presidennya, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, tindakan itu telah membangkitkan kemarahan di kalangan umat Islam kerana seolah-olah mencabar integriti dan kewibawaan sistem kutipan zakat yang telah sekian lama diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Negeri.
Menurut beliau, MBN yang mempunyai lebih 300,000 ahli mendesak pihak Majlis Agama Islam menjalankan siasatan bagi mengesan individu atau kumpulan itu untuk diambil tindakan tegas kerana cuba menimbilkan kekeliruan dan kerisauan di kalangan umat Islam.
"Kita sudah ada sistem bayaran zakat yang cukup baik dan kemas,I sepatutnya golongan ini sudah memahaminya dan bukan mengambil perkara ini secara main-main dengan membuat hebahan seronok-seronok,’’ katanya kepada Suara Perak di Ipoh pada Jumaat.
Sehubungan dengan itu, Hasnul menasihatkan golongan belia di Perak agar tidak terpengaruh dengan kempen tersebut yang menurutnya mempunyai motif tidak baik terhadap sistem kutipan zakat fitrah yang selama ini dilakanakan oleh Majlis Agama Islam.
Semalam, Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan umat Islam bahawa tidak sah hukumnya membayar zakat secara terus kepada asnaf tanpa melalui Majlis Agama Islam.
Menurut beliau, ini kerana kerajaan telah menubuhkan satu institusi yang bertanggungjawab mengenai kutipan zakat iaitu Majlis Agama Islam Negeri.
Beliau berkata, apa yang dibimbangi, jika masyarakat Islam terpengaruh dengan kempen itu,maka akan pincanglah masyarakat Islam.