top of page

MBI Promosi Dataran Dato’ Sagor

muinsapidin

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mempromosikan Dataran Dato’ Sagor sebagai lokasi pelancongan makanan di Bandaraya Ipoh berikutan kawasan tersebut terletak dalam lingkungan laluan warisan (heritage trail).

Kawasan sekitar dataran tersebut juga menjadi tarikan pelancongan kerana berdekatan dengan Lorong Panglima, jam besar serta Stesen Keretapi yang sibuk menerima kehadiran penumpang ETS ke utara dan selatan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pihaknya akan menyelaraskan beberapa aktiviti promosi di sekitar kawasan itu bagi menarik lebih ramai pelancong singgah ke Dataran Dato’ Sagor untuk menikmati makanan yang dijual di gerai-gerai yang disediakan.

“Saya yakin, kira-kira 70 peratus pengunjung yang datang ke Ipoh akan singgah di dataran ini yang menyediakan pelbagai variasi makanan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci kepada 26 pelesen dataran tersebut di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI, di sini pada Jumaat.

Medan Selera yang bernilai RM3.1 juta itu menempatkan 28 buah gerai, termasuk 4 buah gerai yang dikhaskan untuk Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.

Tahun lalu sahaja, bandaraya Ipoh menerima kira-kira 7 juta pelancong dari dalam dan luar negara.

Zamri berharap, dengan siapnya Dataran Dato’ Sagor yang beroperasi selepas Aidil Fitri, akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke Ipoh sebagai destinasi pelancongan dengan menawarkan perkhidmatan selari dengan penaiktarafan dataran itu.

Terdahulu di dalam ucapannya, Datuk Bandar mengingatkan para peniagaan di dataran berkenaan supaya menjaga kebersihan, kualiti dan layanan kepada pelanggan.

Beberapa peniaga yang ditemui menyambut baik langkah menaik taraf gerai di dataran tersebut dan berazam akan memberi perkhidmatan yang baik kepada setiap pengunjung yang datang.

Shahul Hamid Sickenthar

Peniaga kedai runcit, Shahul Hamid Sickenthar berkata, gerai yang ada sekarang sangat cantik dan tersusun, sekaligus mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Dalila Manan

Peniaga pelbagai jenis mee, Dalila Manan yang telah berniaga lebih 30 tahun di tapak tersebut pula berharap pihak MBI dapat menambah lebih banyak kerusi meja bagi menampung kedatangan pelanggan.

Ng Yoke Ying

Bagi peniaga air, Ng Yoke Ying yang telah berniaga lebih 10 tahun, dia berazam akan memberi perkhidmatan terbaik, sesuai dengan keindahan dan kecantikan gerai baharu yang bakal mereka duduki bulan depan.

Kamaluddin Muslim

Peniaga aneka nasi dan mee goring, Kamaluddin Muslim pula berharap pihak MBI dapat membina `awning’ bagi memberi keselesaan kepada pelanggan, lebih-lebih lagi ketika hujan dan panas.


50 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page